Kuala Lumpur, Selasa (Mei 22, 2012) – Penyedia perkhidmatan data dan jalur lebar, REDtone Telecommunications Sdn Bhd (REDtone) dan peneraju dalam inovasi ICT, MIMOS Bhd (MIMOS) menjalin permuafakatan dalam perkongsian saling bermanfaat di mana kedua-dua pihak dapat memanfaatkan kelebihan yang dimiliki oleh kedua-dua syarikat untuk mencapai matlamat perniagaan masing-masing.
REDtone dan MIMOS menandatangani satu Perjanjian Persefahaman hari ini yang bakal menyaksikan REDtone menjadi penerima teknologi MIMOS dengan hak-hak penggunaan bagi teknologi WiWi dan Platform Pemantauan Pintar (Intelligence Surveillance Platform) MIMOS selama tiga tahun.
Perjanjian tersebut yang telah dimeterai dengan disaksikan oleh Dato’ Seri Haji Ahmad Husni bin Hanadzlah, Menteri Kewangan II tersebut akan membolehkan REDtone meningkatkan lagi kelebihan daya saing melalui pengukuhan kemampuan teknologinya, manakala MIMOS akan memanfaatkan kerjasamanya dengan REDtone untuk pembangunan teknologi di masa hadapan berdasarkan keperluan pasaran sebenar.
Kolaborasi ini juga adalah selari dengan inisiatif Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) untuk menghubungkan 1Malaysia.
Menandatangani bagi pihak REDtone ialah Pengarah Urusan REDtone International Bhd (REDtone Int), Dato’ Wei Chuan Beng dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Lau Bik Soon sementara MIMOS pula diwakili oleh Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Abdul Wahab Abdullah dan Ketua Pegawai Operasi, Abd Aziz Abd Kadir. Turut hadir di majlis tersebut adalah Pengerusi REDtone Int, Dato’ Ibrahim Che Mat dan Timbalan Pengerusinya, Datuk Wira Syed Ali Al-Habshee berserta Pengerusi MIMOS, Dato’ Suriah Abdul Rahman.
Menurut Dato’ Ibrahim Che Mat, kemahiran dan penyelesaian teknologi yang ditawarkan oleh syarikat tersebut akan disempurnakan lagi melalui usaha sama dengan MIMOS.
“Sebagai syarikat yang dihormati dalam inisiatif R & D yang dilaksanakannya sendiri, REDtone akan dapat menyepadukan teknologi WiWi dan ISP ke dalam portfolio penyelesaian yang kami miliki pada masa ini dan membawa hasil ciptaan MIMOS ke pasaran.
“Keupayaan yang dipertingkatkan ini akan membantu mendorong kelebihan daya saing REDtone dan membolehkan kami menceburi pelbagai bentuk projek ICT yang tidak mampu kami laksanakan sebelum ini. Kami juga akan dapat meraih peluang untuk membawakan teknologi WiWi dan ISP ke pasaran antarabangsa,” kata Dato’ Ibrahim Che Mat sambil menambah bahawa perkhidmatan tambahnilai di hotspot-hotspot WiFi yang disediakannya akan turut dapat dipertingkat menerusi kedua-dua teknologi tersebut.
Dengan keanjalan yang dimiliki platform WiWi MIMOS, satu penyelesaian menyeluruh boleh ditawarkan daripada satu hotspot tunggal. Dianggap sebagai pemboleh aliran hasil, ia akan membolehkan REDtone menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia.
Datuk Abdul Wahab pula berkata, “MIMOS terus membangunkan teknologi dan mencipta perkhidmatan nilai tambah dalam ICT. Ini adalah sejajar dengan hasrat kerajaan bagi inisiatif Digital Malaysia; untuk menggantikan router dengan produk tempatan dalam meluaskan infrastruktur Digital bagi akses jalur lebar di luar bandar.
“Teknologi MIMOS membawa faedah jalur lebar kepada masyarakat, bukan hanya daripada sudut ketersambungan, malah melalui perkhidmatan nilai tambah dan aplikasi-aplikasi kandungan yang lain. Ini membawa kepada penciptaan aliran hasil alternatif sama ada bagi Penyedia Perkhidmatan Internet (ISP) atau kepada pengguna akhir ke arah mencapai akses Internet jalur lebar yang mampan,” tambah Abdul Wahab.
Dengan memanfaatkan kelebihannya sebagai pembina infrastruktur dan penyedia perkhidmatan WiFi, REDtone akan membangunkan sebuah tapak perintis berasaskan teknologi WiWi dan Platform Pemantauan Pintar (ISP) MIMOS. MIMOS pula komited untuk menyediakan sokongan teknikal yang diperlukan. Tapak perintis ini akan menjadi tapak rujukan bagi REDtone dalam rancangannya untuk mengembangkan hotspot WiFi pada tahun-tahun akan datang, bagi membolehkannya mencipta perkhidmatan-perkhidmatan tambah nilai kepada penyelesaian sedia ada.
Penawaran penyelesaian geganti WiWi MIMOS meluaskan lagi liputan dan membolehkan perkhidmatan-perkhidmatan baharu dicipta seperti IPTV Tanpa Wayar, Perkhidmatan Pemantauan Video, pengiklanan setempat dan lain-lain.
Wiwi Outdoor Access Point MIMOS pula turut menyediakan rangkaian produk yang lengkap berasaskan rekabentuk modular; daripada hotspot WiFi hinggalah kepada Metronet yang lebih kompleks dengan WiFi MultiMesh atau penyelesaian “titik-ke-titik” (point-to-point).
Sebagai pembina rangkaian WiFi terbesar negara, REDtone memiliki 4,500 hotspot WiFi sama ada yang telah pun disediakan, sedang dalam pembinaan atau akan dibina menjelang akhir tahun ini. Ia menawarkan perkhidmatan dari hujung-ke-hujung (end-to-end) yang meliputi reka bentuk, pembinaan, pengurusan dan penyelenggaraan hotspot-hotspot berkenaan.