Skip to main content
Press Release

MOSTI MERASMIKAN ITIC, SEMICONDUCTOR RESEARCH CONSORTIUM DAN AKADEMI MIMOS UNTUK MEMACU KEMAJUAN TEKNOLOGI MALAYSIA

KULIM, KEDAH, 22 Jun 2024YB Tuan Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), merasmikan Pusat Industry Technology Innovation (ITIC), Semiconductor Research Consortium dan Akademi MIMOS di MIMOS Berhad, yang terletak di Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP), Kedah pada hari ini.

Pelancaran ITIC menandakan satu pencapaian besar dalam kemajuan industri teknologi. ITIC terdiri daripada empat pusat, masing-masing dikendalikan oleh agensi berbeza di bawah MOSTI: MIMOS, yang memberi tumpuan kepada sektor Elektrik dan Elektronik (E&E); MRANTI, yang mengkhusus dalam Teknologi Dron dan Robotik; MIGHT, yang berdedikasi kepada Teknologi Bandar Pintar; dan MYSA, yang menumpukan pada Teknologi Angkasa atau Aerospace. Secara khususnya, ITIC MIMOS akan memberi penekanan kepada Peralatan Ujian Automatik (Automated Test Equipment/ATE). Inisiatif ini menyokong Pelan Hala Tuju (Roadmap) E&E 2021-2030, dengan matlamat mensasarkan penghasilan komponen bernilai tinggi (high-valued components) di dalam negara dan meningkatkan sumbangan nilai tambah (value added contributions).

ITIC akan meningkatkan kandungan tempatan dalam pembuatan ATE dengan mendapatkan komponen dan bahan tempatan, memupuk kerjasama, dan mewujudkan kemudahan pembuatan tempatan untuk meningkatkan peluang pekerjaan dan kepakaran. Bakat tempatan akan membangunkan perisian dan perisian tegar khusus, memastikan produk memenuhi permintaan domestik. Latihan dan sokongan teknikal yang komprehensif akan melengkapkan individu dengan kemahiran yang diperlukan untuk operasi sistem ATE yang berkesan manakala penyepaduan pembekal tempatan akan menyelaraskan operasi dan meningkatkan kecekapan kos. Insentif kerajaan dan kerjasama bersama akademia akan terus memacu inovasi, meletakkan Malaysia sebagai peneraju global dalam industri E&E.

Di samping itu, YB Tuan Chang Lih Kang juga meluncurkan Konsortium Penyelidikan Semikonduktor, diketuai oleh MIMOS. Inisiatif penubuhan Konsortium ini adalah sebahagian daripada matlamat E&E Roadmap: Technology Development 2021-2030 oleh MOSTI, dan melibatkan Consortium of Electrical and Electronics of Malaysian Universities (CEE), Malaysia Semiconductor Industry Association (MSIA), Semiconductor Fabrication Association of Malaysia (SFAM), Collaborative Research in Engineering, Science and Technology (CREST) dan pemain industri utama. Konsortium ini akan memanfaatkan kemudahan MIMOS dan kerjasama strategik untuk memajukan teknologi semikonduktor dan menangani cabaran industri, meletakkan Malaysia sebagai peneraju dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) semikonduktor.

Akademi MIMOS akan memainkan peranan penting dalam sektor teknologi Malaysia, menawarkan latihan penting dan memupuk generasi perintis teknologi masa depan. Sejajar dengan National Semiconductor Strategies (NSS) Malaysia, Akademi MIMOS menyasarkan untuk menarik pelaburan dan membangunkan bakat mahir, mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pusat R&D global.

YB Tuan Chang Lih Kang menekankan potensi transformatif inisiatif-inisiatif ini, dengan menyatakan, “Penubuhan ITIC, Semiconductor Research Consortium dan Akademi MIMOS bukan sekadar perasmian dari segi kemudahan tetapi menandakan titk permulaan perjalanan transformatif untuk industri, bakat, dan generasi masa depan kita. Pusat ini merangkumi komitmen kami untuk memupuk budaya inovasi dan kecemerlangan berterusan, menyediakan lingkungan yang memupuk pertumbuhan idea, pembangunan bakat, dan penyebaran teknologi revolusioner.

Penubuhan ITIC, Semiconductor Research Consortium dan Akademi MIMOS menandakan satu lembaran baharu dalam usaha Malaysia mengejar kecemerlangan teknologi dan kemakmuran ekonomi. MIMOS berdedikasi untuk memupuk inovasi, membangunkan bakat, dan menjalin kerjasama strategik untuk meletakkan Malaysia sebagai peneraju teknologi global.

Kerajaan Malaysia akan menyokong penyetempatan industri E&E melalui dasar, insentif dan pembangunan infrastruktur yang disasarkan. ITIC ialah inisiatif utama yang diperkenalkan untuk tujuan ini. Dengan memanfaatkan peluang ini, Malaysia boleh mempercepat langkah untuk menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi dan berteknologi maju, menyokong pembangunan ekonomi yang mampan dan pertumbuhan yang inklusif.

– TAMAT –


Mengenai MIMOS Berhad

MIMOS adalah agensi strategik di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan pusat inovasi dalam teknologi Semikonduktor, Mikroelektronik dan ICT, yang menyumbang kepada pertumbuhan sosio-ekonomi Malaysia melalui platform, produk dan penyelesaian teknologi yang boleh dipatenkan. Sejak penubuhannya, MIMOS telah memfailkan 2,000 paten dalam pelbagai domain teknologi dan merentasi bidang sosio-ekonomi utama yang memacu perkembangan transformasi digital Malaysia ke arena antarabangsa.

Sebagai pusat kecemerlangan penyelidikan, aktiviti R&D MIMOS kini tertumpu pada Semikonduktor & Penyelidikan Filem Nipis (Semiconductor & Thin Film Research), Elektronik Lanjutan & Sistem Terbenam (Advanced Electronics & Embedded Systems), Teknologi Pembuatan (Manufacturing Technology) dan teknologi Negara Bestari (Smart Nation). MIMOS terus meningkatkan kerjasamanya dengan rakan kongsi strategik sedia ada, meneroka peluang baharu dengan bakal rakan kongsi, dan membangunkan syarikat teknologi baharu dan organisasi usaha niaga teknologi berorientasikan perniagaan. MIMOS juga mengekalkan R&D teknologi canggihnya, meneroka pembangunan keusahawanan teknologi global, dan memupuk sikap amanah, inovasi dan prestasi tinggi.

Untuk maklumat lanjut, sila layari www.mimos.my.

Untuk pertanyaan Media, sila hubungi Komunikasi Korporat kami:

Patricia Liew

Nurazuin Wahab

  •