BUKIT JALIL, 25 Februari 2025 – Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Yang Berhormat Tuan Chang Lih Kang hari ini merasmikan Pusat Kecerdasan Kuantum MIMOS yang pertama di Malaysia sempena MIMOS Quantum Day 2025, dengan bertemakan ‘Membentuk Masa Depan dengan Kecerdasan Kuantum’.
Dengan pelancaran Pusat Kecerdasan Kuantum MIMOS, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) memastikan kesiapsiagaan dan daya saing Malaysia dalam ekonomi digital global.
Menurut YB Tuan Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, “Malaysia sedang melangkah ke era baharu dalam sains dan teknologi dengan pembangunan ekosistem kuantum. Inisiatif seperti MIMOS Quantum Day mencerminkan komitmen negara dalam meneroka potensi teknologi kuantum untuk memperkukuh ekonomi, mempercepatkan inovasi, dan memastikan daya tahan digital negara. MOSTI akan terus memperkasa penyelidikan, bakat, dan kolaborasi untuk menjadikan Malaysia antara peneraju global dalam teknologi ini”.

Pusat ini akan menjadi platform kerjasama utama yang menghubungkan dasar dengan strategi yang boleh dilaksanakan bagi memacu kemajuan teknologi mendalam, aplikasi kuantum, serta penerapan di peringkat nasional merangkumi kerajaan dan industri. Selain penjajaran dasar, pusat ini akan berfungsi sebagai hab R&D termaju dalam teknologi berkaitan kuantum, memacu penyelidikan dan inovasi yang berimpak tinggi. Ia juga akan memainkan peranan penting dalam pembangunan bakat, membekalkan tenaga kerja Malaysia dengan kemahiran khusus yang diperlukan untuk cemerlang dalam era kuantum. Dengan memupuk kepakaran tempatan dan menarik kerjasama global, Pusat Kecerdasan Kuantum MIMOS akan menjadi pemangkin dalam meletakkan Malaysia sebagai pemain utama dalam landskap kuantum antarabangsa.
Sejajar dengan Dasar Sains, Teknologi & Inovasi Kebangsaan (DSTIN) MOSTI 2021-2030, inisiatif ini melengkapkan usaha Malaysia untuk lebih kehadapan di dalam teknologi tinggi seperti teknologi kuantum dan Kecerdasan Buatan (AI). Menyedari peranan dan kepentingan bakat yang berteknologi tinggi dalam memacu pertumbuhan ekonomi, Malaysia komited untuk melatih 60,000 jurutera berkemahiran tinggi menjelang 2030 di bawah Strategi Semikonduktor Kebangsaan (NSS) bagi mengukuhkan lagi ekosistem kuantum dan semikonduktor.
MIMOS turut menandatangani perjanjian kerjasama dengan SDT Inc. dari Korea untuk menubuhkan ‘Lembah Kuantum’ Malaysia, iaitu sebuah hab inovasi yang dinamik. Hab ini akan berfungsi sebagai ekosistem yang berkembang pesat, di mana syarikat antarabangsa, syarikat pemula (start-up) dan pelabur boleh menubuhkan serta mengembangkan inisiatif Rantaian Bekalan Kuantum mereka. Hab ini akan disediakan dengan infrastruktur bertaraf dunia, memupuk kerjasama rentas sempadan, dan menarik pelaburan luar bernilai tinggi bagi mempercepatkan pengkomersialan teknologi kuantum Malaysia.
MIMOS Quantum Day 2025 berfungsi sebagai platform penting dalam perkongsian ilmu dan kerjasama industri. Lebih daripada 200 peserta, termasuk penyelidik, usahawan, dan pembuat dasar, terlibat dalam perbincangan mengenai penemuan terkini, aplikasi, serta cabaran dalam pengkomputeran kuantum, komunikasi kuantum, serta keselamatan kuantum. Acara utama merangkumi perbincangan panel mengenai status penyelidikan kuantum dan potensinya terhadap industri di Malaysia, pembentangan mengenai kemajuan teknologi kuantum di Korea, serta usaha memperkukuh kerjasama dua hala. Selain itu, bengkel interaktif turut diadakan untuk meneroka aplikasi pengkomputeran kuantum dalam industri seperti kewangan, penjagaan kesihatan, dan keselamatan siber.
Dr. Saat Shukri Embong, Pemangku Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MIMOS, menekankan bahawa acara ini membuktikan komitmen Malaysia dalam membina ekosistem kuantum yang kukuh. “MIMOS Quantum Day 2025 bukan sekadar persidangan. Ia adalah pemangkin kepada masa depan digital Malaysia. Melalui kerjasama, penyelidikan, dan inovasi, kita sedang membuka jalan bagi generasi teknologi kuantum seterusnya.”
Encik Jiwon Yune, Ketua Pegawai Eksekutif SDT Inc., turut mengesahkan dedikasi syarikatnya dalam memajukan kecerdasan kuantum di Malaysia. “Kerjasama kami dengan MIMOS mencerminkan visi bersama untuk memanfaatkan teknologi kuantum dalam memacu inovasi dan pertumbuhan ekonomi. Kami teruja untuk menyumbang kepakaran kami dalam perjalanan kuantum Malaysia.”
Dalam pada Malaysia mempercepatkan peralihan ke arah Ekonomi Digital, Mimos Quantum Day 2025 ini akan memainkan peranan penting dalam membentuk dasar, mengalakkan kerjasama dan perkongsian, serta memacu/mendorong penggunaan teknologi kuantum merentasi pelbagai industri.
TAMAT –
Mengenai MIMOS Berhad
MIMOS adalah agensi strategik di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan pusat inovasi dalam teknologi Semikonduktor, Mikroelektronik dan ICT, yang menyumbang kepada pertumbuhan sosio-ekonomi Malaysia melalui platform, produk dan penyelesaian teknologi yang boleh dipatenkan. Sejak penubuhannya, MIMOS telah memfailkan 2,000 paten dalam pelbagai domain teknologi dan merentasi bidang sosio-ekonomi utama yang memacu perkembangan transformasi digital Malaysia ke arena antarabangsa.
Sebagai pusat kecemerlangan penyelidikan, aktiviti R&D MIMOS kini tertumpu pada Semikonduktor & Penyelidikan Filem Nipis (Semiconductor & Thin Film Research), Elektronik Lanjutan & Sistem Terbenam (Advanced Electronics & Embedded Systems), Teknologi Pembuatan (Manufacturing Technology) dan teknologi Negara Bestari (Smart Nation). MIMOS terus meningkatkan kerjasamanya dengan rakan kongsi strategik sedia ada, meneroka peluang baharu dengan bakal rakan kongsi, dan membangunkan syarikat teknologi baharu dan organisasi usaha niaga teknologi berorientasikan perniagaan. MIMOS juga mengekalkan R&D teknologi canggihnya, meneroka pembangunan keusahawanan teknologi global, dan memupuk sikap amanah, inovasi dan prestasi tinggi.
Untuk maklumat lanjut, sila layari www.mimos.my.
Untuk pertanyaan Media, sila hubungi Komunikasi Korporat kami:
Patricia Liew
- Pengurus, Komunikasi Korporat
- Emel: patricia.liew@mimos.my
Nurazuin Wahab
- Penolong Pengurus, Komunikasi Korporat
- Emel: nurazuin.wahab@mimos.my