BUKIT JALIL, 24 Mei 2024 – Timbalan Menteri Sains, Teknologi, dan Inovasi (MOSTI), YB Dato’ Haji Mohammad Yusof bin Apdal, secara rasmi meluncurkan Portal MY-AI di MIMOS Berhad, Bukit Jalil pada hari ini.
Portal MY-AI adalah sebuah inisiatif penting yang dijalankan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) tahun ini. Portal ini adalah sebuah portal nasional pertama dalam talian mengenai sumber dan isu-isu kecerdasan buatan atau Artificial Intelligence (AI) yang akan dibangunkan, dihoskan dan diselenggara oleh MIMOS di bawah MOSTI dan merupakan langkah strategik dalam menyediakan sumber High-Performance Computing (HPC) yang merangkumi pautan kepada sumber pengetahuan, program latihan, alatan bantu (tools), dan saluran maklum balas untuk AI. Tujuan utama inisiatif ini adalah untuk memacu perkembangan dan penggunaan AI demi manfaat ekonomi dan sosial Malaysia.
Sebagai langkah sementara, Portal ini akan menyediakan pautan kepada Penyedia Cloud Service (CSP) sedia ada bagi mana-mana pengguna yang memerlukan perkhidmatan tersebut. MIMOS juga merancang untuk bekerjasama dengan rakan industri dan institusi akademik dalam masa terdekat untuk menubuhkan dan menyediakan sumber HPC bagi pelajar Malaysia, memastikan penggunaan produktif mereka melalui sistem yang tersusun. Sebuah jawatankuasa yang terdiri daripada semua pihak berkepentingan HPC akan dibentuk untuk menilai Cadangan pihak yang berkelayakan mendapat akses kepada perkhidmatan awan ini dan untuk memastikan sumber tidak disia-siakan.

YB Dato’ Haji Mohammad Yusof bin Apdal menyatakan kegembiraannya terhadap peluncuran Portal MY-AI, ” Dengan peluncuran Portal MY-AI ini, MOSTI berharap inovasi AI di Malaysia dapat ditingkatkan seterusnya menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat. Portal ini akan menjadi pusat rujukan utama bagi para penyelidik, pelajar, dan cendekia profesional dalam bidang AI, menyediakan akses kepada sumber pengetahuan, alatan bantu, dan program latihan terkini.“
Beliau juga menekankan bahawa melalui penyediaan sumber pengetahuan dan program latihan, Portal MY-AI akan membantu membina dan membangunkan bakat masa depan dalam bidang AI, memastikan Malaysia memiliki tenaga kerja yang kompeten dan berdaya saing di peringkat global. Alatan bantuan dan perkhidmatan HPC yang disediakan akan mempercepatkan proses penyelidikan dan pembangunan, membolehkan inovator dan industri menguji dan mengaplikasikan teknologi AI dengan lebih cekap.
Selain itu, inisiatif ini adalah selaras dengan dasar dan aspirasi kerajaan untuk menjadi negara Digital. Portal MY-AI adalah sebahagian daripada pelan tindakan dan roadmap digital negara, termasuk Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) dan Pelan Strategik Kecerdasan Buatan (AI) Nasional. Usaha ini juga selari dengan nilai ekonomi MADANI untuk meningkatkan taraf hidup rakyat yang menyokong pertumbuhan industri berteraskan digital dan inovasi bakal membuka lebih banyak peluang pekerjaan yang bermakna di samping turut membangunkan kemahiran tenaga kerja tempatan untuk pekerjaan berpendapatan tinggi untuk memacu perkembangan dan penggunaan AI demi manfaat ekonomi dan sosial Malaysia.
Dengan ciri-ciri yang komprehensif, Portal MY-AI akan mempercepatkan pembangunan dan penggunaan AI, dan juga memainkan peranan penting dalam membentuk masa depan teknologi dan ekonomi Malaysia, menjadikan negara kita sebagai peneraju dalam inovasi AI di rantau ini dan di peringkat antarabangsa.
– TAMAT –
Mengenai MIMOS Berhad
MIMOS adalah agensi strategik di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan pusat inovasi dalam teknologi Semikonduktor, Mikroelektronik dan ICT, yang menyumbang kepada pertumbuhan sosio-ekonomi Malaysia melalui platform, produk dan penyelesaian teknologi yang boleh dipatenkan. Sejak penubuhannya, MIMOS telah memfailkan 2,000 paten dalam pelbagai domain teknologi dan merentasi bidang sosio-ekonomi utama yang memacu perkembangan transformasi digital Malaysia ke arena antarabangsa.
Sebagai pusat kecemerlangan penyelidikan, aktiviti R&D MIMOS kini tertumpu pada Semikonduktor & Penyelidikan Filem Nipis (Semiconductor & Thin Film Research), Elektronik Lanjutan & Sistem Terbenam (Advanced Electronics & Embedded Systems), Teknologi Pembuatan (Manufacturing Technology) dan teknologi Negara Bestari (Smart Nation). MIMOS terus meningkatkan kerjasamanya dengan rakan kongsi strategik sedia ada, meneroka peluang baharu dengan bakal rakan kongsi, dan membangunkan syarikat teknologi baharu dan organisasi usaha niaga teknologi berorientasikan perniagaan. MIMOS juga mengekalkan R&D teknologi canggihnya, meneroka pembangunan keusahawanan teknologi global, dan memupuk sikap amanah, inovasi dan prestasi tinggi.
Untuk maklumat lanjut, sila layari www.mimos.my.
Untuk pertanyaan Media, sila hubungi Komunikasi Korporat kami:
Patricia Liew
-
- Pengurus, Komunikasi Korporat
-
- Emel: patricia.liew@mimos.my
Nurazuin Wahab
-
- Penolong Pengurus, Komunikasi Korporat
-
- Emel: nurazuin.wahab@mimos.my