BUKIT JALIL, 25 February 2025 – YABhg. Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail telah hadir sebagai tetamu khas dan merasmikan MIMOS Junior Academy (Tadika MIMOS) bersama-sama dengan YBhg. Datuk Ts. Dr. Haji Aminuddin Bin Hassim, Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi hari ini di MIMOS Berhad.
Penjenamaan semula MIMOS Junior Academy (MJA) ini akan mengadaptasi satu kurikulum baharu berasaskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM). Kurikulum ini dirangka khusus untuk menyediakan pengalaman pembelajaran yang menyeluruh, dinamik, dan inovatif bagi para pelajar, sekaligus memupuk minat terhadap STEM sejak usia muda.

Pendekatan pengajaran MJA termasuk:
-
- Pembelajaran Berasaskan Inkuiri: Menggalakkan rasa ingin tahu melalui soalan dan eksperimen.
- Pembelajaran Berasaskan Bermain: Menggunakan permainan untuk membangunkan kemahiran kognitif dan motor.
- Pembelajaran Berasaskan Projek (PBL): Menyelesaikan cabaran dunia sebenar dalam projek jangka panjang.
- Integrasi STEM: Mengintegrasikan prinsip STEM dalam kurikulum.
- Pembelajaran Berasaskan Pengalaman: Pengalaman praktikal seperti lawatan sambil belajar dan eksperimen.
- Pembelajaran yang Dipertingkatkan dengan Teknologi (TEL): Menggunakan alat moden untuk masa depan berasaskan teknologi.
Sebagai sebuah pusat pendidikan awal, MJA komited melahirkan generasi muda yang kreatif, berfikiran kritis, dan celik digital. Penekanan terhadap kurikulum berasaskan STEM di MJA sejajar dengan aspirasi nasional untuk meningkatkan literasi STEM di peringkat awal pendidikan. Dalam usaha merealisasikan visi ini, MJA bekerjasama dengan Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-Kanak (NCDRC), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), bagi memastikan pelaksanaan kurikulum STEM yang efektif, inovatif dan menyeluruh. Melalui pendekatan yang sistematik ini, MJA berhasrat untuk menyemai minat terhadap STEM dalam kalangan pelajar tadika, sekaligus melahirkan generasi masa depan yang berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran dunia teknologi digital.
YBhg. Datuk Ts. Dr. Haji Aminuddin dalam ucapannya menekankan bahawa pendidikan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik) adalah satu fokus utama MOSTI dan menyokong inisiatif yang mengintegrasikan pembelajaran STEM dalam pendidikan prasekolah melalui aktiviti interaktif, eksperimen mudah, dan eksplorasi secara hands-on, “Pendidikan STEM adalah komponen kritikal dalam membina tenaga kerja yang bersedia untuk masa depan. MOSTI berusaha untuk menggalakkan lebih ramai pelajar menceburi bidang STEM bagi mengatasi jurang kemahiran yang wujud dan memastikan daya saing Malaysia di peringkat antarabangsa.
MOSTI juga menekankan pentingnya memastikan pendidikan STEM dapat diakses oleh semua lapisan masyarakat, termasuk komuniti B40. Inisiatif-inisiatif MOSTI bertujuan menjadikan pendidikan STEM lebih menarik, inklusif, dan relevan kepada pelajar dari pelbagai latar belakang.”
Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MIMOS, Dr Saat Shukri Embong berkata bahawa transformasi MJA ini mencerminkan komitmen MIMOS untuk melangkah ke hadapan dalam menyediakan pendidikan awal yang lebih holistik dan inovatif, “MJA kini memperkenalkan pendidikan berasaskan STEM sebagai asas kepada pembelajaran kanak-kanak. Ini selaras dengan visi kami untuk ‘Nurturing Future Leaders of Tomorrow’ atau dalam bahasa melayu, ‘Menyemai Pemimpin Masa Hadapan’.
Matlamat utama MJA adalah untuk memupuk rasa ingin tahu, kreativiti, dan pemikiran kritikal dalam kalangan pelajar prasekolah. Kami percaya bahawa kanak-kanak ini adalah bakal pemimpin yang akan menerajui masa depan yang semakin didorong oleh teknologi.”
-
- TAMAT –
Dikeluarkan oleh:
KEMENTERIAN SAINS, TEKNOLOGI DAN INOVASI 21 Februari 2025
Mengenai MIMOS Berhad
MIMOS adalah agensi strategik di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan pusat inovasi dalam teknologi Semikonduktor, Mikroelektronik dan ICT, yang menyumbang kepada pertumbuhan sosio-ekonomi Malaysia melalui platform, produk dan penyelesaian teknologi yang boleh dipatenkan. Sejak penubuhannya, MIMOS telah memfailkan 2,000 paten dalam pelbagai domain teknologi dan merentasi bidang sosio-ekonomi utama yang memacu perkembangan transformasi digital Malaysia ke arena antarabangsa.
Sebagai pusat kecemerlangan penyelidikan, aktiviti R&D MIMOS kini tertumpu pada Semikonduktor & Penyelidikan Filem Nipis (Semiconductor & Thin Film Research), Elektronik Lanjutan & Sistem Terbenam (Advanced Electronics & Embedded Systems), Teknologi Pembuatan (Manufacturing Technology) dan teknologi Negara Bestari (Smart Nation). MIMOS terus meningkatkan kerjasamanya dengan rakan kongsi strategik sedia ada, meneroka peluang baharu dengan bakal rakan kongsi, dan membangunkan syarikat teknologi baharu dan organisasi usaha niaga teknologi berorientasikan perniagaan. MIMOS juga mengekalkan R&D teknologi canggihnya, meneroka pembangunan keusahawanan teknologi global, dan memupuk sikap amanah, inovasi dan prestasi tinggi.
Untuk maklumat lanjut, sila layari www.mimos.my.
Untuk pertanyaan Media, sila hubungi Komunikasi Korporat kami:
Patricia Liew
-
- Pengurus, Komunikasi Korporat
- Emel: patricia.liew@mimos.my
Nurazuin Wahab
-
- Penolong Pengurus, Komunikasi Korporat
- Emel: nurazuin.wahab@mimos.my