KUALA LUMPUR, 12 Disember 2023 – Inisiatif baharu MIMOS Berhad agensi di bawah Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan kerjasama Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD), dan di bawah pengawasan MAMPU, penyepaduan MyDigital ID sebagai kaedah pengesahan untuk semua perkhidmatan digital Kerajaan menjanjikan pengalaman transformasi kepada rakyat. Pelaksanaan ini bertujuan untuk memudahkan akses kepada pelbagai perkhidmatan digital sambil memperkukuhkan keselamatan transaksi dalam talian.
MyDigital ID berfungsi sebagai kaedah pengesahan dalam talian, memberikan rakyat akses yang lancar kepada pelbagai platform digital kerajaan. Dengan penyepaduan proses pengesahan dalam talian, individu boleh menggunakan pelbagai perkhidmatan tanpa menghadapi kerumitan log masuk berbilang dan memudahkan interaksi digital dengan agensi-agensi Kerajaan.
MyDigital ID Memperkemas Proses Pengaksesan dan Mempertingkatkan Keselamatan Data
Penggunaan MyDigital ID pada portal Kerajaan dapat menjamin transaksi yang selamat melalui sistem berasaskan kriptografi yang terjamin keselamatannya. Keselamatan sistem ini diperakui Pensijilan Kriteria Umum yang diiktiraf di peringkat antarabangsa pada EAL3+. Aplikasi MyDigital ID pada telefon pintar mengandungi identiti digital rakyat yang terikat secara kriptografi (teknologi yang sangat selamat) kepada nama dan nombor kad pengenalan. Rakyat boleh melibatkan diri dalam aktiviti dalam talian dengan yakin kerana ciri-ciri keselamatan MyDigital ID yang kukuh dalam melindungi maklumat.
MyDigital ID sebagai tunjang komitmen kerajaan dalam menyediakan perkhidmatan digital yang boleh diakses dan selamat untuk semua rakyat. Sistem bersatu ini bukan sahaja memudahkan pengalaman pengguna tetapi juga mengutamakan perlindungan maklumat sensitif di samping mengukuhkan kepercayaan pengguna terhadap infrastruktur digital ini.
Pelaksanaan MyDigital ID menandakan satu langkah penting ke arah persekitaran digital yang lebih mesra pengguna dan selamat, sejajar dengan visi kerajaan untuk memanfaatkan teknologi demi memperkasakan rakyat.
MIMOS menekankan bahawa MyDigital ID tidak menyimpan sebarang data biometrik seperti cap jari, maklumat mata, atau pengecaman muka, dan tidak menggunakan sebarang cip atau implan. MyDigital ID juga tidak mengumpul, memantau atau menyimpan pangkalan data peribadi mahupun aktiviti pengguna dalam talian, tidak mendedahkan data peribadi secara terbuka, dan tidak membolehkan pengguna memiliki lebih daripada satu identiti digital. Ia juga tidak berfungsi sebagai pengganti MyKad untuk bukti pengenalan.
Buat masa ini, pendaftaran MyDigital ID dibuka kepada semua kakitangan kerajaan. Pendaftaran secara umum akan bermula pada Mac 2024. Maklumat pendaftaran dan lokasi kios pendaftaran akan disenaraikan di laman web MyDigital ID kelak. Untuk maklumat lanjut dan pertanyaan, sila hantar e-mel ke info@mimos.my atau https://www.mimos.my/main/portfolio/mydigital-id/ .
### TAMAT ###
Disediakan oleh
KEMENTERIAN SAINS, TEKNOLOGI DAN INOVASI
12 DISEMBER 2023
MENGENAI MIMOS BERHAD
MIMOS adalah agensi strategik di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan pusat inovasi dalam teknologi Semikonduktor, Mikroelektronik dan ICT, yang menyumbang kepada pertumbuhan sosio-ekonomi Malaysia melalui platform, produk dan penyelesaian teknologi yang boleh dipatenkan. Sejak penubuhannya, MIMOS telah memfailkan lebih daripada 1,300 paten dalam pelbagai domain teknologi dan merentasi bidang sosio-ekonomi utama yang memacu perkembangan transformasi digital Malaysia ke arena antarabangsa, menjenamakan semula dirinya sebagai MIMOS Global pada 2022.
Sebagai pusat kecemerlangan penyelidikan, aktiviti R&D MIMOS kini tertumpu pada Semikonduktor & Penyelidikan Filem Nipis (Semiconductor & Thin Film Research), Elektronik Lanjutan & Sistem Terbenam (Advanced Electronics & Embedded Systems), Teknologi Pembuatan (Manufacturing Technology) dan teknologi Negara Bestari (Smart Nation). MIMOS terus meningkatkan kerjasamanya dengan rakan kongsi strategik sedia ada, meneroka peluang baharu dengan bakal rakan kongsi, dan membangunkan syarikat teknologi baharu dan organisasi usaha niaga teknologi berorientasikan perniagaan. MIMOS juga mengekalkan R&D teknologi canggihnya, meneroka pembangunan keusahawanan teknologi global, dan memupuk sikap amanah, inovasi dan prestasi tinggi.
Untuk maklumat lanjut, sila layari www.mimos.my.
Untuk pertanyaan Media, sila hubungi Komunikasi Korporat kami:
Muriani Mat Zin
- Ketua Jabatan, Komunikasi Korporat
- Emel: muriani@mimos.my
Patricia Liew
- Pengurus, Komunikasi Korporat
- Emel: patricia.liew@mimos.my
Laurence Sebastian
- Penolong Pengurus, Komunikasi Korporat
- Emel: laurence@mimos.my